
Khilafiyyah
Memahami dunia khilafiyyah dengan lebih adil dan terbuka
Jumaat, 13 April 2012
Hukum Kompang Mengikut Mazhab Syafi’i

Ahad, 13 November 2011
Keperluan Memahami Manhaj yang Sesuai dalam Mengeluarkan Fatwa di Malaysia

Dengan memfokuskan tanah air, Malaysia, negara yang berada di tengah-tengah Asia Tenggara tersebut dilihat mempunyai budaya beragama yang agak berbeza jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Dari segi sejarahnya, penduduk-penduduk Malaysia sebelum kedatangan Islam menganut agama Hindu dan Buddha. Pengaruh Hindu-Buddha masih wujud sehingga hari ini walaupun Islam telah bertapak di Malaysia sejak 600-700 tahun yang. Adat dan budaya masyarakat setempat juga berubah-ubah mengikut peredaran zaman dan pengaruh-pengaruh luar. Pada dekad-dekad belakangan ini, Malaysia menerima tempias perkembangan pesat manhaj-manhaj yang berlaku di Arab Saudi, Mesir, Yaman, India dan Pakistan. Semua perkara tersebut menyumbang kepada pembentukan sebuah manhaj dalam beragama di Malaysia.
Secara ringkasnya, umat Islam di Malaysia kebanyakannya berakidah Asya’irah dan bermazhab Syafi’i. Dua mazhab tersebut menjadi pegangan dan amalan sedari zaman kesultanan Melayu Melaka lagi yang dapat dilihat menerusi penggubalan undang-undang kerajaan Melaka dan kitab-kitab Jawi lama. Walau bagaimanapun, mazhab Asya’irah dan Syafi’i di Malaysia adalah dengan gaya setempat yang kadang-kadang tidak sama dengan mazhab yang asal atau yang diamalkan di Yaman dan Syria. Hal ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya pengaruh fatwa-fatwa ulama dari mazhab dan manhaj yang lain.
Manhaj yang paling kuat mempengaruhi amalan agama di Malaysia ialah manhaj mu’asharah dan Ikhwani yang pada mulanya dibawa oleh bekas-bekas pelajar di Universiti al-Azhar. yang kemudiannya dikembangkan oleh ramai ustaz-ustazah daripada tempat-tempat lain khususnya Jordan. Manhaj mu’asharah ini diterima baik walaupun bertentangan dengan mazhab asal kerana kemudahan dan keselesaan yang didapati daripadanya. Manhaj Ikhwani pula diamalkan dalam masalah politik melihatkan persamaan antara keadaan politik di Malaysia dan di Mesir dalam usaha menegakkan negara Islam menerusi demokrasi. Manhaj-manhaj lain seperti Ahbasy, Tablighi, ahli hadis, Salafiyyah-Wahhabiyyah, dan Islam Liberal juga diamalkan dan cuba dikembangkan di Malaysia.
Kepelbagaian manhaj ini mencetuskan banyak perbalahan dalam kalangan pendukung-pendukungnya yang akhirnya merebak juga kepada orang awam. Perbahasan-perbahasan khilafiyyah disebut dalam kuliah-kuliah dan ditulis dalam buku, akhbar, dan majalah-majalah. Tidak cukup dengan itu, isu-isu khilafiyyah menjadi topik hangat dalam internet. Majoriti umat Islam Malaysia memihak kepada manhaj tradisi sehingga mencetuskan tentangan yang hebat terhadap manhaj-manhaj lain khususnya Ahli Hadits dan Salafiyyah-Wahhabiyyah. Namun begitu, mereka tidak kalah hujah malah terus-menerus mempertahankan manhaj mereka.
Walau bagaimanapun, fenomena ini hanya berlaku dalam kalangan sebahagian kecil umat Islam. Mereka adalah golongan agamawan berpengetahuan. Golongan agamawan yang kurang pengetahuan agama pula boleh dikatakan tidak bermazhab dan tidak bermanhaj. Mereka menurut sahaja fakta-fakta dan fatwa-fatwa yang disampaikan oleh ustaz-ustazah kepada mereka tidak kira daripada mazhab dan manhaj mana. Golongan bukan agamawan yang lemah pegangan agamanya pula dilihat kurang mempedulikan pengetahuan agama.
Pada akhir-akhir ini, ramai umat Islam Malaysia mula memperlihatkan kecenderungan untuk mempelajari agama. Percambahan tempat-tempat pengajian Islam dirasai di mana-mana. Ratusan atau ribuan buku agama diterbitkan setiap tahun. Banyak soalan diajukan kepada ustaz-ustazah meminta penjelasan tentang masalah-masalah agama yang dihadapi. Bagaimanakah bentuk jawapan yang perlu diberikan oleh mereka? Jawapan mazhab manakah yang perlu diambil? Adakah perlu disertai dalil-dalilnya sekali? Apakah adab-adab dalam perlu dijaga bersama?
Untuk menjawab persoalan-persoalan tersebut, sebuah metodologi dicadangkan untuk menjadi garis panduan kepada para ustaz dalam berinteraksi dengan soalan-soalan yang diajukan oleh masyarakat. Modul tersebut diharapkan mampu membina kewibawaan pendukung Islam sekali gus memantapkan perkembangan dakwah Islamiyyah di tanah air. Dengan cadangan ini juga diharapkan mampu menjernihkan kekeruhan kefahaman masyarakat tentang Islam yang terhasil akibat perselisihan mazhab dan manhaj.
Secara ringkasnya, bentuk fatwa yang dicadangkan perlu meraikan keadaan dan persekitaran setempat. Fatwa yang dimaksudkan adalah semua jawapan kepada persoalan-persoalan agama yang diajukan oleh masyarakat kepada ahli-ahli agama dan tidak khusus kepada jawapan atau kenyataan daripada mufti-mufti dan organisasi-organisasi fatwa sahaja. Perlu diperhatikan juga perbezaan antara fatwa dengan pendapat peribadi. Pendapat peribadi adalah hasil ijtihad yang dianggap paling rajih pada pandangannya dan bukan untuk disebarkan kepada masyarakat umum atau untuk disampaikan kepada mana-mana pihak. Fatwa pula merupakan hasil ijtihad yang tidak semestinya paling rajih dan dikeluarkan untuk masyarakat umum atau khusus untuk diamalkan oleh pihak-pihak tertentu.
Fatwa yang meraikan keadaan dan persekitaran di sini bermaksud fatwa yang tidak jumud dengan hasil-hasil ijtihad sendiri yang dipengaruhi oleh sentimen taasub mazhab dan manhaj sendiri. Sikap taasub mazhab dalam kalangan majoriti tokoh agama di Malaysia telah menyebabkan mereka memberikan fatwa berdasarkan mazhab yang dianuti sambil menyerang mazhab-mazhab lain sehingga menyebabkan perbalahan antara mereka dan kekeliruan dalam kalangan awam. Oleh sebab itu, mereka perlu membebaskan diri mereka daripada sikap buruk tersebut dan cuba berlaku adil. Mereka juga perlu berhemah dan berlapang dada apabila dikritik oleh pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat mereka.
Secara ringkasnya, fatwa yang cemerlang mengandungi perkara-perkara berikut:
- Gambaran kedudukan masalah dalam perbahasan alim-ulama secara umum
- Penjelasan masalah mengikut amalan tempatan
- Penjelasan masalah mengikut mazhab tempatan
- Penjelasan masalah mengikut pendapat yang rajih
- Dalil-dalil mazhab tempatan dan pendapat yang rajih
- Cadangan tindakan yang perlu dilakukan oleh penanya.
Sebagai contoh, apabila ditanya ‘ada seorang ustaz mengatakan wajib membaca basmalah ketika berwuduk dan mengatakan tidak sah wuduk tanpa basmalah. Mohon penjelasan ustaz mengenai masalah ini’ fatwa yang perlu diberikan sepatutnya berbunyi:
Masalah hukum membaca basmalah ketika wuduk termasuk dalam perkara-perkara yang diperselisihkan oleh para ulama. Pendapat yang mewajibkan basmalah adalah satu pendapat dalam mazhab Hanbali dan pendapat mazhab Dzhahiri. Imam Ishaq bin Rahawaih juga berpendapat demikian. Adapun jumhur ulama berpendapat basmalah hanyalah sunat. Malah, ada ulama yang tidak memandangnya satu perkara sunat malah ada ulama yang diriwayatkan membid’ahkannya. Umat Islam di Malaysia mengamalkan pendapat jumhur yang menyunatkannya. Inilah yang diajarkan oleh guru-guru pondok zaman-berzaman dan bertepatan dengan pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi’i. Demikian jugalah pendapat yang rajih bagi saya. Pendapat yang mewajibkannya berpegang kepada hadis ‘tidak dikira berwuduk orang yang tidak menyebut nama Allah padanya’. Disebabkan kesahihan hadis ini dipertikaikan oleh ulama, maka tidak sabit hukum wajib tersebut. Tambahan pula, ayat wuduk dalam surah al-Nisa’ dan al-Ma’idah tidak menyebutkan basmalah. Inilah hujah jumhur. Berkenaan jawapan ustaz tersebut, beliau memilih pendapat yang mewajibkannya dan barangkali berpegang kepada hadis tersebut. Mungkin beliau memandang hadis tersebut sahih. Kepada yang bertanya, saya jelaskan bahawa kedua-dua pendapat adalah muktabar di sisi ulama walaupun bagi kita, pendapat yang menyunatkannya lebih tepat. Saya nasihatkan kepada antum supaya cuba sedaya upaya membaca basmalah ketika berwuduk walaupun tidak wajib dan tidak bermudah-mudahan dengannya. Wallahua’lam.
Perkara penting yang perlu dielakkan dalam fatwa ialah merendah-rendahkan pendapat orang lain. Walau bagaimanapun, kaedah ini tidak melazimi setiap fatwa kerana terdapat pendapat yang tidak muktabar. Pendapat yang tidak muktabar perlu ditangani secara bijaksana. Kadang-kadang pendapat yang tidak muktabar tersebut diterima baik oleh masyarakat dan sebati dalam kehidupan mereka. Sekiranya pendapat tersebut ditolak secara keras dan tidak berhikmah ketika mengeluarkan fatwa dikhuatiri fatwa tersebut tidak diendahkan oleh masyarakat atau mencetuskan kemungkaran yang lebih besar.
Banyak lagi perkara lain yang perlu diambil perhatian oleh tempat-tempat rujuk masyarakat. Masyarakat yang dididik oleh guru-guru yang tidak beradab dalam menyampaikan pandangan akan melahirkan masyarakat yang juga tidak beradab malah lebih teruk daripada itu. Kalau guru kencing berdiri pasti murid akan kencing berlari.
Wallahua’lam.
Isnin, 12 September 2011
Seuntai Kata untuk Dirasa oleh A. Samad Said
suara usah menggegar sahaja
kalau benar membawa cita
di dalam senyap kumpulkan tenaga.
Ayam bertelur sekampung tahu
mengapa mesti kita begitu
falsafah ubi diam berisi
mengapa tidak kita turuti?
Sekarang singkirkan semua bicara
sekarang kumpulkan tenaga raksasa
tiba saat berbunga merah
serentak mara kita bersama.
A. Samad Said
Jendela, 1988
TEKS Publishing Sdn. Bhd.
Dipetik daripada Antologi Seuntai Kata untuk Dirasa, cetakan keempat edisi pelajar, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2003.
Khamis, 8 September 2011
Kata-kata Syaikh al-Albani
Selasa, 30 Ogos 2011
Khilaf; Di Manakah Allah?
"Di manakah Allah?" Masalah di manakah Allah masalah yang teramat besar. Umat Islam sejak zaman salaf sehingga zaman ini masih tidak henti-henti membicarakannya. Para ulama menulis kitab membincangkan isu ini. Tidak hanya mereka, ustaz-ustazah yang baru mengenal kitab-kitab Arab pun mula menuturkan masalah ini. Malah, anak-anak muda yang tidak mengenal huruf pun mahu masuk campur membahaskan masalah tersebut.
Sedari dahulu, para ulama yang semuanya mengaku bermazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berselisih dalam menjawab persoalan di manakah Allah. Antara mereka ada yang menjawab “Allah di langit” atau “Allah di atas ‘arsy.” Sebahagian ulama pula menyanggah lalu mengatakan “Allah tidak berada di langit atau di atas ‘arsy. Sesungguhnya Allah tidak bertempat”. Tidak kurang juga kedengaran dalam kalangan umat yang menyebut “Allah ada di mana-mana”.
Orang-orang Islam pasti kebingungan. Mengapa sampai ada tiga jawapan bagi persoalan ketuhanan ini? Khilaf ini bukan khilaf biasa. Sesetengah golongan sampai mengkafirkan golongan yang lain.
Tidak ada gunanya disenaraikan dalil-dalil bagi menyokong mana-mana pihak di sini. Hujah bagi pihak yang benar terbentang luas. Tidak tersembunyi. Tetapi, bagi orang-orang yang malas hujah secerah mantari tetap tidak kelihatan.
Sebenarnya, masalah ketuhanan sebegini muncul sejak kurun pertama Hijrah lagi. Ajaran ini ketika itu tersebar luas menemui bangsa-bangsa yang baharu. Umat Islam meneliti al-Quran dan sunnah dengan tekun. Hanya ketekunan itu kadang-kadang tidak ditemani dengan tunjuk ajar para ulama menyebabkan mereka tersesat. Al-Quran dan sunnah tidak difahami dengan metodologi yang benar. Antara mereka Jahm bin Shafwan. Kepadanyalah disandarkan mazhab Jahmiyyah yang disesatkan atau bahkan dikafirkan oleh ulama. Juga Washil bin ‘Atha’ pengasas mazhab Mu’tazilah.
Orang-orang yang sesat ini cuba memahami nas tanpa bantuan guru. Barangkali mereka menganggap para sahabat dan tabiin sesat sehingga pegangan mereka tidak sama dengan pegangan Rasulullah shallahu’alaihiwasallam sampai mereka terpaksa mengkaji semula al-Quran dan sunnah dengan gaya baru. Gaya bid’ah lagi dhalalah. Hasilnya, mereka menyimpulkan kesimpulan-kesimpulan yang dahsyat. Sama seperti Qur’aniyyun yang cuba mentafsirkan al-Quran tanpa bantuan sunnah dan kata-kata ulama tetapi hanya berpandukan pengetahuan bahasa Arab dan ketajaman fikiran. Kononnya! Sesat lagi menyesatkan.
Pada zaman dahulu itu, muncul fahaman baru tentang Allah yang menyalahi nas-nas al-Quran dan sunnah. Fahaman tersebut mendakwa Allah tidak mempunyai sifat. Sebab, sifat adalah sesuatu yang bersifat baharu dan makhluk sedangkan Allah tidak baharu dan tidak pula makhluk. Menyifatkan Allah dengan sesuatu sifat bererti menyamakan Allah dengan makhluk. Oleh sebab itu, semua sifat-sifat Allah yang dinaskan dalam al-Quran dan sunnah wajib ditakwil untuk menjadikan sifat tidak lagi sebagai sifat.
Ulama-ulama Ahli Sunnah yang berguru dengan murid-murid sahabat dan tabiin tidak berpeluk tubuh melihatkan kesesatan mula membiak di tengah-tengah umat. Mereka pun menyanggah fahaman-fahaman Jahmiyyah dan Mu’tazilah itu. Pada masa itu, Ahli Sunnah masih utuh kesatuannya. Mereka mempunyai satu akidah dan satu manhaj. Tidak seperti hari ini.
Ahli Sunnah ketika itu yang perjuangannya didukung oleh imam-imam agung seperti Imam Malik dan Ahmad bersatu dalam mengimani sifat-sifat Allah sebagaimana yang diwahyukan kepada Rasulullah shallahu’alaihiwasallam dan sebagaimana yang disampaikan oleh baginda. Mereka tidak mentakwilnya sama sekali. Memang wujud riwayat-riwayat yang menunjukkan mereka juga mentakwil tetapi teramat sedikit dan tidak sahih atau tidak sarih. Walau bagaimanapun, Ahli Sunnah yang wujud pada hari ini boleh dikatakan bersependapat dalam mengatakan bahawa ulama-ulama Ahli Sunnah pada zaman salaf tidak mentakwil kebanyakan ayat-ayat dan hadis-hadis sifat. Sama ada Ahli Sunnah pada zaman salaf mengisbatkan sifat-sifat tersebut ataupun tidak dengan menyerahkan maknanya kepada Allah, itu persoalan kedua. Yang penting, mereka tidak mentakwilnya.
Kemudian, muncul mazhab Asya’irah dan Maturidiyyah dalam kalangan Ahli Sunnah pada kurun ketiga dan keempat Hijrah. Kedua-dua mazhab ini dibawa oleh ulama-ulama kalam iaitu ulama-ulama yang menggunakan ilmu falsafah dan mantik secara meluas dalam menghuraikan persoalan-persoalan akidah. Metodologi baru ini dengan rupa tersebut tidak pernah wujud sebelumnya dalam tradisi Ahli Sunnah menyebabkannya dibantahi oleh ramai Ahli Sunnah yang berpegang dengan tradisi ulama-ulama sebelumnya.
Ulama-ulama Asya’irah dan Maturidiyyah melakukan pembaharuan dalam ilmu akidah dengan mengisbatkan sesetengah sifat dan mentakwil sebahagian yang lain. Sebagaimana yang masyhur pada zaman sekarang Asya’irah mengisbatkan 20 sifat asas bagi Allah taala. Antaranya sifatmukhalafah li al-hawadits. Ertinya, Allah taala tidak sama dengan makhluk baik zat, sifat, dan perbuatan.
Dalam al-Quran, Allah taala seakan-akan menyifatkan diri-Nya dengan sifat-sifat makhluk. Demikian juga dalam hadis. Keadaan ini secara zahirnya bercanggah dengan sifat mukhalafah li al-hawadist. Untuk menyelesaikan percanggahan tersebut, ulama-ulama Asya’irah dan Maturidiyyah menggariskan kaedah takwil. Takwil yang digariskan oleh mereka berdasarkan penggunaan bahasa Arab.
Akan tetapi, mereka menghadapi masalah baru apabila mendapati ulama-ulama Ahli Sunnah sebelum mereka tidak menggunakan kaedah takwil sebagaimana yang diperkenalkan oleh mereka. Oleh sebab itu, mereka menganggap Ahli Sunnah pada zaman salaf melakukan takwil dengan kaedah lain yang dinamakan ‘ta’wil ijmali’ sementara mereka melakukan takwil tafshili. Takwil ijmali bererti menolak unsur-unsur tasybih dalam al-Quran dan sunnah semuanya sekali tanpa mengemukakan takwilan setiap nas sebaliknya menyerahkan urusannya kepada Allah. Takwil tafshili pula, menolak unsur-unsur tasybih semuanya sekali kemudiannya mengemukakan takwilan bagi nas-nas satu-persatu. Maknanya, manhaj ulama-ulama Ahli Sunnah salaf tidak berbeza dengan manhaj mereka. Mereka hanya menambahkan usaha dengan memberikan makna yang sesuai bagi setiap nas yang ditakwil. Demikian menurut mereka.
Pendapat ulama-ulama Asya’irah dan Maturidiyyah tidak dipersetujui oleh ulama-ulama Hanabilah yang berusaha untuk berpegang teguh dengan manhaj Ahli Sunnah terdahulu. Mereka menolak dakwaan bahawa Ahli Sunnah salaf melakukan takwil ijmali. Bagi mereka, Ahli Sunnah salaf mengisbatkan sifat bukan mentakwilnya. Walaupun mereka mengisbatkan sifat-sifat Allah yang disebut dalam al-Quran dan sunnah, mereka tetap menolak tasybih. Kerana itulah mereka selalu menyebut “setiap sifat Allah yang warid daripada al-Quran dan hadis kami beriman dengannya tanpa tasybih atau takwil” dan seumpamanya. Mereka memilih jalan tengah iaitu antara tasybih dengan takwil iaitu beriman dengan sifat-sifat Allah tanpa menyerupakannya dengan sifat-sifat makhluk atau mentakwilnya sehingga mengubah makna nas.
Jadi, Ahli Sunnah pada hari ini terbahagi kepada dua iaitu golongan yang cuba meneruskan tradisi salaf mereka yang dikenali sebagai Hanabilah, Atsariyyah, dan Salafiyyah; dan golongan yang membawa manhaj baharu yang dikenali sebagai Asya’irah dan Maturidiyyah, dan Khalafiyyah. Masing-masing dengan gaya dan manhaj tersendiri.
Demikianlah penjelasan ringkas untuk memahami punca sebenar perpecahan Ahli Sunnah. Orang yang tidak tahu punca selalu hilang punca.
Antara sifat-sifat Allah yang kerap diperselisihkan adalah sifat ‘uluww dan fauqiyyah. Sifat ini zahirnya kedapatan dalam banyak nas al-Quran dan hadis. Ulama-ulama Salafiyyah mengisbatkan sifat ini dengan mengatakan sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis iaitu ‘Allah di langit’ atau ‘Allah di atas ‘arsy’. Mereka tidak mengatakan ‘Allah di langit atau ‘arsy sebagaimana makhluk’.
Ulama-ulama Asya’irah dan Maturidiyyah pula mentakwil sifat ‘uluww dan fauqiyyah dengan mengatakan ‘uluww dan fauqiyyah yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis adalah majazi bukan hakiki. Iaitu, Allah maha tinggi martabat-Nya bukan kedudukan zat-Nya. Alasan mereka, menyatakan zat Allah berada di atas langit atau di mana-mana tempat bererti menempatkan zat Allah. Sifat menempati sesuatu sifat makhluk. Makhluk berhajat kepada tempat. Allah maha suci daripada menyerupai makhluk. Jadi, Allah tidak bertempat dan zat Allah tidak berada di atas langit atau di mana-mana tempat sama sekali.
Hakikat yang tidak diketahui oleh ramai pengikut Khalafiyyah yang jahil adalah mendakwa bahawa ulama-ulama Salafiyyah mengatakan bahawa zat Allah berada di langit dengan makna berada di dalam langit sedangkan yang sebenarnya zat Allah menurut mereka tidak berada di dalam lingkungan makhluk sama sekali. Langit makhluk. Jadi, ‘di langit’ yang dimaksudkan oleh mereka adalah ‘di atas langit’ atau ‘di atas sekalian makhluk’. Mereka cuba mengikut ulama-ulama salaf Ahli Sunnah dan inilah manhaj mereka menurut kefahaman mereka. Mereka mengisbatkan apa yang salaf isbatkan dan mereka memperincikan apa yang salaf perincikan.
Disebabkan tempat adalah sebahagian daripada makhluk, bolehlah dikatakan bahawa akidah Salafiyyah bahawa Allah taala di atas sekalian makhluk-Nya tidak bercanggah dengan akidah Khalafiyyah bahawa Allah taala tidak bertempat. Sebab, apabila dikatakan bahawa Allah taala berada di atas sekalian makhluk-Nya bererti Allah berada di luar tempat atau tidak berada di dalam tempat. Jadi, batallah dakwaan bahawa Salafiyyah atau mereka memanggilnya Wahhabiyyah kafir atas alasan mengatakan Allah bertempat. Demikianlah sesatnya orang-orang yang sesat. Sesat dalam mendakwa sesat kepada orang-orang yang tidak sesat.
Sesetengah orang yang jahil juga mendakwa Salafiyyah tidak mentakwil sama sekali sama ada ayat sifat atau tidak. Hal ini bertentangan dengan apa yang terkandung dalam mazhab Salafiyyah itu sendiri. Barangkali mereka tidak tahu membaca tulisan Arab sehingga tidak mampu membaca kitab-kitab para ulama Salafiyyah sehingga menuduh mereka apa yang tidak pernah mereka lakukan. Alangkah buruknya apa yang mereka lakukan!
Mereka juga mendakwa Salafiyyah mengatakan Allah taala bersemayam di atas ‘arsy seperti makhluk walhal akidah Salafiyyah tentang mukhalafah li al-hawadits sama seperti akidah mereka. Cuma, dalam masalah bersemayam atau beristiwa’ di atas ‘arsy, ulama-ulama Salafiyyah mengisbatkannya sebagaimana yang diisbatkan oleh al-Quran dan hadis selain kata-kata ulama salaf menurut apa yang mereka fahami. Mereka hanya mengisbatkan maknanya dan menyerahkan urusan tentang kaifiat istiwa’ kepada Allah taala. Ertinya, isbat makna tetapi tafwidh kaifiat. Tidak ada takwil. Ulama-ulama Asya’irah dan Maturidiyyah pula memilih antara dua: tafwidh atau takwil maknanya. Tidak ada isbat.
Demikianlah penjelasan berkenaan isu di manakah Allah. Wallahu’alam.
Sabtu, 6 Ogos 2011
Khilaf; Kedudukan Hadis-hadis dalam Ihya' 'Ulum al-Din karya Imam al-Ghazali

Imam al-Ghazali (men. 505 Hijrah) atau nama penuhnya Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali adalah seorang tokoh ilmuwan Islam yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ulama-ulama Asya’irah dan aliran sufi telah mengangkatnya sebagai imam yang agung sebaris dengan Imam al-Baqillani, Ibnu Faurak, al-Baihaqi, dan al-Juwaini. Keadaan ini samalah dengan ulama-ulama Hanabilah dan Salafiyyah yang telah menjadikan Imam Ibnu Taimiyah sebagai mahaguru besar mereka.
Kitab Imam al-Ghazali yang paling masyhur dan berpengaruh kepada dunia keilmuan Islam dulu dan hari ini adalah Ihya’ ‘Ulum al-Din. Ringkasnya, al-Ihya’. Di sana terdapat banyak lagi kitab yang telah beliau karang sama ada dalam bidang falsafah, fikah, usul fikah, dan sebagainya. Kitab Ihya’ secara mudahnya disifatkan sebagai sebuah kitab akhlak dan tasawuf kerana ghalib kandungannya berkisar tentang akhlak dan tasawuf. Selain dua perkara tadi, Imam al-Ghazali juga membincangkan masalah akidah dan fikah dalam kitab Ihya’.
Meskipun kitab Ihya’ dipuja dan dijulang oleh ramai ulama, ramai juga ulama lain yang menolaknya bahkan kitab ini bukan sahaja dibantahi dan disanggah oleh mereka malah dibakar di bawah perintah Khalifah Ibnu Tasyfin, khalifah Murabithah di Maghribi. Ada yang berpendapat bahawa pemulauan terhadap kitab Ihya’ disebabkan fatwa ulama-ulama fikah di sana yang terasa dengan kritikan Imam Ghazali terhadap mereka. Ada juga yang berpendapat, pemulauan disebabkan faktor politik. Muhammad al-Maghrawi telah menulis kitab bertajuk al-Asbab al-Haqiqiyyah li Hirq Ihya’ ‘Ulum al-Din min Qibal Amir al-Mu’minin Ibn Tasyfin atau dalam bahasa Melayunya berbunyi ‘sebab-sebab sebenar pembakaran Ihya’ di bawah arahan Amirul Mukminin Ibnu Tasyfin’ setebal lebih kurang 350 halaman. Daripada kitab tadi, beliau menyimpulkan bahawa ada dua sebab utama yang memaksa Khalifah Ibnu Tasyfin membakar Ihya’. Pertama, kerana fatwa ulama. Kedua, kesalahan-kesalahan yang terdapat dalam Ihya’.
Antara kesalahan yang terdapat dalam Ihya’ adalah banyaknya penggunaan hadis-hadis lemah dan palsu. Antara yang menyatakan demikian adalah:
1. Imam al-Thurthusyi, ulama mazhab Maliki
2. Imam al-Mazuri, juga ulama Maliki
3. Imam Ibnu al-Jauzi, ulama besar mazhab Hanbali
4. Imam al-Dzahabi, berakidah Hanabilah bermazhab Syafi’i dalam fiqh.
Penggunaan hadis lemah memang tidak dinafikan oleh mereka keharusannya dalam sesetengah perkara seperti dalam menyatakan kelebihan sesuatu amalan. Yang menjadi masalahnya adalah hadis palsu. Hadis palsu haram diriwayatkan atau disandarkan kepada Nabi shallahu’alaihiwasallam sama sekali melainkan untuk memberi peringatan akan kepalsuannya. Ramai ulama sufi terlalu memandang tinggi kepada Imam al-Ghazali sehingga tidak dapat menerima bahawa Imam Ghazali secara tidak sengaja telah memasukkan hadis-hadis lemah dan palsu ke dalam Ihya’.
Syaikh Ramadhan al-Buthi, ulama Asya’irah dan tashawwuf kontemporari sebagai menjawab soalan ‘mengapakah terdapat banyak hadis daif dan mungkar di dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din oleh Imam al-Ghazali sedangkan beliau dianggap ‘hujjah al-Islam’? berkata: terdapat banyak hadis dha’if yang terdapat dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din oleh Imam al-Ghazali adalah tertakluk dengan fadilat amal yang sabit kelebihannya dengan dalil sabit yang lain.
Ulama hadis telah bersepakat bahawa tidak ada kerosakan atau mudarat di dalam memetik hadis-hadis lemah dalam bab fadilat amal dengan syarat hadis tersebut tidaklah terlalu dha’if. Kemungkinan rawi itu menyangka ketika menyebut hadis tersebut adalah sahih.
Allah subhanahuwata’ala telah pun mengutuskan seseorang itu menyatakan, memperincikan, dan menerangkan, dan menerangkan kelemahan hadis tersebut. Beliau adalah al-Hafidzh al-‘Iraqi rahimahullah. Semoga apa yang menjadi kesangsian di benak engkau tidak akan menjadi sangsi lagi. [Himpunan 50 Fatwa Ulama tentang Aqidah Siri Kedua, terjemahan Faiz Tanzizi, cet. pertama 2011, ter. Biro Ekonomi Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah, hal. 127]
Jawapan Syaikh Ramadhan al-Buthi ‘terdapat banyak hadis daif yang terdapat dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din oleh Imam al-Ghazali adalah tertakluk dengan fadilat amal yang sabit kelebihannya dengan dalil sabit yang lain’ dapat diterima sekiranya bermakna ‘terdapat banyak hadis dha’if dalam Ihya’ berkenaan fadilat amal dan ada juga hadis dhai’f yang digunakan dalam bab-bab hukum’. Sebab, Imam al-Ghazali telah menggunakan hadis-hadis yang bukan setakat daif malah palsu dalam bab hukum seperti beliau memandang sunat solat-solat khusus pada hari-hari tertentu bersandarkan hadis yang dihukum tidak berasas lagi batil oleh Imam al-‘Iraqi yang dipuji oleh Syaikh al-Buthi sendiri tadi [Rujuk: Ihya’, al-Maktabah al-Taufiqyyah, hal. 302].
Selain itu, daripada jawapan beliau juga nampak seolah-olah beliau menganggap hadis-hadis yang digunakan dalam fadilat amal tadi hanyalah dha’if yang tidak teramat dha’if pula silap kerana telah terbukti bahawa hadis-hadis tersebut bukan semata-mata dha’if tetapi teramat dha’if yang tidak dapat digunakan dalam bab fadilat amal yang dimaksudkan. Bahkan bukan teramat dha’if malah maudhu’. Contohnya hadis:
يا أبا هريرة أتريد أن تكون رحمة الله عليك حيا وميتا ومقبورا قم من الليل فصل وأنت تريد رضا ربك يا أبا هريرة صل في زوايا بيتك يكن نور بيتك في السماء كنور الكواكب والنجوم عند أهل الدنيا
Terjemahannya: wahai Abu Hurairah, adakah engkau mahu rahmat Allah menimpa kamu semasa kamu masih hidup atau setelah kamu mati dan dikuburkan? Hendaklah engkau bangun pada waktu malam. Adakah engkau inginkan keredaan Tuhanmu? Wahai Abu Hurairah, solatlah di tengah-tengah rumahmu, pasti ia akan menjadi cahaya bagi rumah kamu di langit seperti cahaya planet dan bintang pada pandangan penduduk bumi. [Ihya’, al-Maktabah al-Syamilah versi 3.41, jil. 1, hal. 353]
Kata al-‘Iraqi: batil, tidak ada asal baginya dan diakui oleh al-Subki yang telah menukilkannya semasa menyemak hadis ini. Hadis ini digunakan dalam bab fadilat.
Sukar untuk menghimpunkan hadis-hadis dha’if jiddan dan maudhu’ dalam Ihya’ di sini. Untuk membuktikan bahawa ulama-ulama hadis telah memutuskan kedapatan banyak hadis lemah dan palsu dalam Ihya’, cukuplah dibawakan kata-kata Imam Ibnu al-Jauzi, al-Syaukani, dan al-Dzahabi. Masing-masing pakar hadis. Imam Ibn al-Jauzi dalam mukadimah kitab Minhaj al-Qasidin sebagaimana yang disalin oleh Imam Ibnu Qudamah dalam ringkasannya ke atas kitab ini berkata: maka ketahuilah bahawa di dalam kitab Ihya’ ada penyakit yang tidak diketahui kecuali oleh ulama. Paling kurangnya adalah hadis-hadis batil lagi maudhu’. Hadis mauquf dijadikannya marfu’. Tetapi beliau hanya menukilkannya sebagaimana yang ia dapati bukan kerana beliau sengaja mereka-rekanya. Tidak boleh berta’abbud dengan hadis mau’dhu’ atau terpengaruh dengan lafaz yang direka. [Dar al-Da’wah, cet. 1426 H, hal. 8]
Imam al-Syaukani yang terkenal dengan kitabnya Nail al-Authar setelah memaudhu’kan sebuah hadis dalam Ihya’ pula berkata: tidak ada gunanya ada hadis seperti ini dalam Ihya’ kerana (Imam al-Ghazali) beliau tidak dapat membezakan antara hadis yang sahih dengan yang palsu. [Al-Fawa’id al-Majmu’ah fi al-Ahadits al-Maudhu’ah, al-Maktabah al-Syamilah versi 3.41, hal. 50]
Kata al-Dzhahabi: Ihya’, di dalamnya ada sebilangan hadis yang batil. Di dalamnya ada kebaikan yang banyak sekiranya tidak ada adab, cara, dan kezuhudan menurut jalan ahli falsafah dan ahli-ahli sufi yang menyeleweng. [Siyar al-A’lam al-Nubala’, al-Maktabah al-Syamilah versi 3.41, jil. 37, hal. 320]
Berkenaan kewujudan kepalsuan sebilangan hadis dalam Ihya’, ini perkara yang biasa dan tidak perlu dianggap pelik. Setinggi mana pun ilmu ulama, pasti akan ada kesilapan dalam kata-kata, tulisan, mahupun perbuatan. Manusia tidak maksum. Imam al-Ghazali tidak tahu tentang kepalsuan hadis-hadis tersebut. Kalau beliau tahu, pasti beliau pun tidak akan memasukkannya. Bagaimana mungkin beliau sengaja melakukannya padahal beliau sendiri mengatakan semasa menyentuh tentang perbuatan mentakwil nas membabi buta: dan sesiapa yang mengharuskan takwilan seperti ini dari kalangan orang-orang yang celaka walaupun mereka tahu bahawa itu bukan takwilannya yang sebenar dan mendakwa mereka melakukannya dengan tujuan menyeru makhluk kepada pencipta samalah seperti orang yang mengharuskan penipuan dan rekaan ke atas Rasulullah shallahu’alaihiwasallam yang memang benar tetapi tidak pernah disebut oleh syarak seperti orang yang mereka-reka hadis dalam setiap masalah yang ia lihat benar daripada Nabi shallahu’alaihiwasallam. Itu adalah satu kezaliman dan termasuk dalam amaran yang dapat difahami daripada sabda baginda shallahu’alaihiwasallam “sesiapa berdusta dengan namaku dengan sengaja, siapkan tempat duduk dalam neraka.” [Ihya’, jil. 1, hal. 38]
Tidak perlu timbul isu adakah Imam al-Ghazali bertaubat atau tidak kerana taubat mestilah dengan ilmu atau tahu akan kesalahan dan kesilapan. Imam Ibnu al-Jauzi mengatakan “Abu Hamid (al-Ghazali) telah mengarang Ihya’ dan memenuhkannya dengan hadis-hadis yang batil sedangkan ia tidak tahu kebatilannya”. [Siyar, ibid, jil. 37, hal. 323] Jika beliau tahu, sudah pasti beliau bertaubat. Inilah sangkaan kita yang baik kepada seorang imam. Mempertahankan hadis-hadis dalam Ihya’ di atas rasa taasub adalah perbuatan yang tercela. Tidak perlu riwayat Imam al-Ghazali bertalaqqi hadis secara langsung daripada Nabi shallahu’alaihiwasallam atau baginda membelek-belek Ihya’ dan menyetujui hadis-hadisnya. Mimpi bukan hujah. Kalau hujah, sudah tentu ulama-ulama Ahli Sunnah akan mengutamakan hadis-hadis dalam Ihya’ lebih daripada Shahih al-Bukhari kerana Imam al-Ghazali menerima hadis langsung daripada Rasulullah shallahu’alaihiwasallam tanpa perantaraan!
Sayangkan Imam al-Ghazali, buanglah kesalahannya dan peganglah kebenarannya.
Meskipun jelas bahawa Imam al-Ghazali telah tersilap memasukkan hadis-hadis yang dha’if lagi maudhu’ ke dalam kitab Ihya’ sedangkan hadis-hadis tersebut memberi kesan secara tidak langsung atau langsung kepada penetapan akidah dan hukum, juga tidak bermakna Imam al-Ghazali sesat kerana akidah dan fikahnya dipengaruhi hadis-hadis dha’if dan maudhu’. Perkara ini boleh difahami dengan memahami dua perkara:
Pertama, akidah dan hukum-hakam yang dipegang oleh Imam al-Ghazali adalah berdasarkan mazhab Asya’irah dan Syafi’i. Hadis-hadis dha’if dan maudhu’ yang digunakan oleh Imam al-Ghazali pasti akan dipilih atau difahami berdasarkan kedua-dua mazhab ini secara umumnya sedangkan dua mazhab tadi berpegang dengan hadis-hadis sahih sahaja. Walaupun darjat sahih itu mungkin tidak diterima oleh mazhab-mazhab lain. Khilaf menentukan darjat hadis masyhur amat. Contohnya, beliau memuatkan hadis:
قيل لرسول الله صلى الله عليه و سلم يا رسول الله أين الله في الأرض أو في السماء قال في قلوب عباده المؤمنين
Terjemahannya: dikatakan kepada Rasulullah shallahu’alaihiwasallam “wahai Rasulullah, di manakah Allah; di bumi atau di langit?” Sabda baginda “dalam hati hamba-hambanya yang beriman”.
Kata Imam al-‘Iraqi: aku tidak menemuinya dengan lafaz ini... Imam al-Subki memasukkannya ke dalam senarai hadis-hadis Ihya’ yang tidak ditemui sumbernya dalam mana-mana kitab secara bersanad. Jadi, hadis di atas memang menyalahi hadis dalam Shahih Muslim kerana menafikan sifat maha tinggi Allah taala di atas langit menurut mazhab Hanabilah dan Salafiyyah. Akan tetapi, menurut mazhab Asya’irah, hadis di atas tidak memberi sebarang masalah bahkan menguatkan akidah bahawa Allah taala tidak bertempat.
Kedua, hadis-hadis dha’if dan maudhu’ boleh dibahagikan kepada dua jenis. Jenis pertama, hadis-hadis yang membawa makna baru yang tidak dibawa oleh nas-nas yang lain. Jenis kedua, hadis-hadis yang tidak membawa makna baru malah menguatkan makna yang telah dibawa oleh nas-nas yang sedia ada. Kebanyakan hadis-hadis dha’if dan maudhu’ yang Imam al-Ghazali gunakan adalah jenis kedua.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa memang wujud hadis-hadis jenis pertama yang telah mempengaruhi Imam al-Ghazali dalam masalah hukum-hakam kerana beliau tidak menurut mazhab Syafi’i secara menyeluruh. Imam al-Ghazali antara imam mazhab Syafi’i dan beliau berpangkat ‘ashhab al-wujuh’ iaitu ulama mazhab yang memberikan pendapat-pendapat tersendiri dalam sesetengah perkara.
Contohnya, Imam al-Ghazali memberi hukum sunat atau mustahabb kepada perbuatan menyapu air pada tengkuk ketika berwudhu’. Beliau bersandarkan kepada hadis:
مسح الرقبة أمان من الغل يوم القيامة
Menyapu tengkuk kelepasan daripada belenggu pada hari kiamat.
Imam al-‘Iraqi mengatakan: dikeluarkan oleh Abu Manshur al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus daripada hadis ‘Umar dengan sanad yang dha’if. Dha’if di sisi Imam al-‘Iraqi boleh jadi sangat dha’if bahkan boleh jadi maudhu’ kerana sepanjang pemerhatian ke atas catatannya ke atas hadis-hadis Ihya’, jarang sangat beliau memaudhu’kan hadis-hadisnya secara sarih sedangkan hadis tersebut telah dikritik hebat oleh ulama-ulama lain. Hadis di atas antara buktinya. Imam al-Nawawi mengatakannya maudhu’. Begitu juga Imam Ibn al-Qayyim menghukumnya batil. Lantaran itu, Imam al-Nawawi tidak bersetuju dengan hukum sunat ke atas perbuatan menyapu tengkuk kerana tidak ada dalil menunjukkan perkara itu. Kalaupun hadis tersebut tidak maudhu’ seperti kata Imam al-Nawawi dan Ibn al-Qayyim tetapi dha’if, hadis dha’if tetap sahaja tidak boleh digunakan sebagai hujah dalam masalah fiqh. Sedangkan Imam al-Ghazali menggunakannya sebagai dalil menyunatkan perbuatan tadi. Hatta kalaupun ada dalil sahih atau hasan lain bahawa menyapu tengkuk adalah sunat, tidak bermakna boleh menggunakan hadis dha’if tadi sebagai sandaran.
Malah pengarang ‘Aun al-Ma’bud berkata: dan kaifiat ini (iaitu menyapu tengkuk dengan tangan selepas menyapu kepala ketika wudhu’ dengan menyangkanya sunat) tidak sabit berkenaan menyapu tengkuk. Tidak daripada hadis sahih ataupun hasan malahan setiap yang diriwayatkan berkenaan menyapu tengkuk adalah dha’if sebagaimana dijelaskan oleh tidak seorang dari kalangan ulama. Jadi, tidak harus berhujah dengannya. [Al-Maktabah al-Syamilah versi 3.41, jil. 1, hal. 222]
Apa-apa pun tentang Imam al-Ghazali, kita katakan sebagaimana yang Imam al-Dzahabi katakan: semoga Allah merahmati Imam Abu Hamid (al-Ghazali). Siapakah yang menyamainya dalam ilmu dan kelebihannya? Akan tetapi kita tidak mendakwa beliau terpelihara daripada kesilapan dan kesalahan. Juga tidak pada taklid dalam usul. [Siyar, ibid, jil. 37, hal. 326]
Allahlah yang maha mengetahui. Wallahu’alam.